Meraban
Meraban.easyjournal.com
Antara Artikel Boleh kita amati






Jika nampak Jurnal ini masih tak dikemaskini sila ke RangBulan ... mirror untuk Meraban
RangBulan
4.22.2009
Blog Siapa ini
Apakah anda terima ....

Sila Klik
4.21.2009
Sekolah gigolo

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Dia hanya mahu menjadi pengiring sosial sambilan, tetapi kursus yang diikutinya mewajibkannya berbogel di depan kamera untuk hidangan mata pelanggan wanita yang kehausan belaian termasuk isteri ahli perniagaan dan VIP.

Apabila berat hati untuk berbuat demikian, lelaki yang mahu dikenali sebagai David dimaklumkan satu daripada syarat ketika berkursus dalam ‘sekolah gigolo’ itu perlu berbogel.

Difahamkan, sindiket pelacuran tempatan dikesan mewujudkan sekolah gigolo itu khusus untuk melatih pemuda tampan yang ingin mencari wang mudah melalui pekerjaan sebagai pelacur sambilan lelaki untuk melayani wanita mewah tapi kesunyian.

Menyedari gambar bogelnya mungkin diedarkan di Internet, apatah lagi boleh mengaibkannya dan keluarga, David segera menarik diri daripada menyertai sekolah gigolo terbabit.

David, 24, ketika mendedahkan kewujudan sekolah gigolo itu kepada Harian Metro, berkata dia terpikat dengan iklan jawatan kosong yang menawarkan kerjaya pengiring sosial sambilan dengan gaji lumayan dan faedah bulanan lain.

Dia yang berasal dari ibu kota, berkata pekerjaan berkenaan hanya dibuka kepada lelaki tampan berusia bawah 24 tahun.

“Saya menghubungi nombor telefon tertera dan dijawab seorang lelaki bernama Sam yang meminta saya menelefon semula, 25 Februari lalu,” katanya.

“Pada hari itu, saya menelefon Sam, tapi rakan sekerjanya menjawab panggilan dan meminta saya datang ke sebuah pusat beli-belah di Cheras,” katanya ketika ditemui bersama Ketua Jabatan Aduan Awam MCA, Datuk Michael Chong.

Di situ, rakan Sam berkenaan sempat mengambil gambar wajahnya menggunakan telefon bimbit.

Bagaimanapun, kata David, perbualan hanya beberapa minit sebelum lelaki itu meminta diri dengan alasan tempat berkenaan tidak sesuai untuk berbincang.

Menurutnya, mereka bertemu kali kedua Sabtu lalu apabila lelaki itu membawanya berjumpa Sam di sebuah pangsapuri di Cheras, kononnya untuk sesi kursus tertutup.

“Sebaik bertemu lelaki berusia 40-an itu, saya diarahkan Sam membuka semua pakaian bagi memudahkan sesi penggambaran dilakukan.

“Sam memberitahu, gambar tubuh saya dalam keadaan telanjang bulat perlu diambil bagi membolehkan pelanggan memilih menerusi katalog album,” katanya.

Dia yang enggan berbogel bagaimanapun akur dengan arahan itu, namun memastikan bahagian alat sulit ditutup dengan tangan.

Sam tidak senang dengan perbuatan David lalu memintanya tidak berasa malu berikutan gambar berkenaan akan dijadikan modal menarik perhatian pelanggan.

David berkata, Sam mendakwa dia boleh mendapat wang mudah dengan hanya menjadi teman sosial di ranjang dengan melayani wanita berusia 30 hingga 40 tahun dengan bayaran perkhidmatan RM300 sejam.

“Syarat terbabit dipersetujui dan Sam meminta saya bersedia menjalankan tugas dalam tempoh beberapa hari. Dia beritahu akan menghubungi saya untuk memberitahu nama dan lokasi pelanggan yang perlu diberi layanan istimewa.

“Selepas pulang ke rumah dan menanti panggilan tugas pertama dengan penuh debaran, saya tiba-tiba terfikir apa akan terjadi jika gambar bogel saya dilihat individu mengenali saya atau disalahgunakan dan dimasukkan ke Internet,” katanya.

Berikutan itu, dia yang bekerja sebagai jurujual menyesal menemui sindiket pelacuran terbabit.

“Ia kesilapan terbesar dilakukan dalam hidup saya. Saya bimbang sindiket pelacuran terbabit memperdagangkan gambar bogel saya hingga sampai ke pengetahuan keluarga,” katanya.

Sementara itu, seorang bekas gigolo yang hanya mahu dikenali sebagai, Pat, 27, mengakui mula terjebak dengan kegiatan pelacur sambilan selepas tertarik tawaran pekerjaan sebagai pengiring sosial.

Menurutnya, tawaran melalui iklan itu membawa kepada perkenalannya dengan seorang lelaki bernama Jimmy yang memintanya datang ke sebuah rumah teres di Sungai Besi untuk berkursus.

“Saya diberikan penerangan tugas ditawarkan lebih kepada gigolo dengan melayan pelanggan wanita pelbagai lapisan dan tahap usia sama ada di hotel, karaoke atau di lokasi ditetapkan.

“Tugas berkenaan dijalankan hampir setiap minggu tanpa mengira masa dan saya diminta sentiasa bersedia untuk dihubungi,” katanya yang bekerja sebagai eksekutif pemasaran sebuah syarikat alat ganti kenderaan.

Dia terlebih dulu diberi latihan selain diminta berbogel untuk dirakam gambar bagi dimasukkan ke dalam katalog untuk diberikan kepada pelanggan.

“Dua tahun bergelumang kerja kotor itu membuatkan saya mula keliru kerana sudah mempunyai seorang teman wanita dan bakal melangsungkan perkahwinan.

“Walaupun boleh memperoleh pendapatan hingga RM4,000 sebulan, saya berundur November lalu dan menumpukan perhatian kepada rumah tangga,” katanya.

Mengulas kegiatan terbabit, Chong berkata, pihaknya menyedari aktiviti segelintir sindiket gigolo yang berselindung di sebalik kerjaya pengiring sosial.

Dia berkata, golongan pengiring sosial itu bagaimanapun tidak jauh bezanya dengan pelacur berikutan mereka turut menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan dengan menerima bayaran lumayan.

4.19.2009
Isteri 6 jam
Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan SHAMRAN SARAHAN
metahad@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Lelaki hidung belang kini semakin rakus melampiaskan nafsu dan mampu berlagak seperti ‘pengantin baru’ apabila sindiket dikesan ligat menawarkan pakej ‘isteri enam jam’ yang boleh dilanggan dalam tempoh itu atau 24 jam.

Kesan kepada taktik sindiket itu nyata membimbangkan kerana ia mendapat sambutan menggalakkan lelaki, terutama generasi muda, sehingga ada yang ‘ketagih’ dan sanggup berhabis ribuan ringgit sebulan.

Perkara itu didedahkan Abdul Malek, 35, yang pernah berdepan situasi ‘kemaruk’ dengan pakej berkenaan sehingga lalai dan kehabisan wang.

Menurut Abdul Malek, setiap minggu dua atau tiga kali dia melanggan wanita menggunakan pakej berkenaan dan berhabis sebahagian wang gajinya.

“Untuk melanggan pakej berkenaan bukan murah kerana wanita ditawarkan bukan seperti wanita di Brickfields atau Lorong Haji Taib. Mereka ada kriteria tersendiri, lawa dan muda.

“Jika mahu yang luar negara, harganya antara RM480 hingga RM980 untuk pakej antara enam dan 24 jam. Jika mahu wanita yang dikatakan model lagi mahal,” katanya.

Abdul Malek berkata, dia tertarik dengan pakej itu kerana tempoh untuk bersama wanita dilanggan lebih panjang.

“Dulu tawaran diberi hanya satu atau dua jam, tetapi pakej itu menawarkan sehingga enam dan 24 jam. Macam isteri jadinya. Nak bawa ‘makan angin’ boleh, nak duduk dalam bilik saja pun boleh,” katanya.

Menurut Abdul Malek, tawaran sindiket itu bukan setakat di spa hotel, tetapi turut ditawarkan orang perseorangan.

“Mudah untuk mendapatkan pakej itu sehingga saya menjadi ketagih. Dalam seminggu tak boleh tak pergi. Kesudahannya wang gaji lebih banyak dilaburkan kepada aktiviti itu dan fikiran sering tertumpu kepada wanita yang kerap dilanggan,” katanya yang berusaha meninggalkan tabiat itu.

Abdul Malek berkata, biasanya dia sering mengambil pakej itu di spa dan kadangkala menggunakan khidmat sindiket yang bergerak secara bebas.

“Jika di spa, sindiket memberi pilihan sama ada mahu menggunakan bilik hotel disediakan mereka atau sebaliknya. Jika menggunakan khidmat sindiket bebas, kena cari hotel sendiri.

“Saya biasanya memilih hotel disediakan. Namun jika mahu membawa ‘isteri’ yang disewa, saya lebih senang memilih menginap di hotel bertaraf sederhana,” katanya.

Menurut Abdul Malek, berdasarkan pengamatannya, pakej berkenaan seperti menjadi trend kerana ramai lelaki hidung belang memilihnya.

“Jika saya berkunjung ke lokasi yang menyediakan khidmat itu, kebanyakan pelanggan memilih pakej berkenaan.

“Kebanyakan alasan yang diberi ialah ia sesuatu yang istimewa kerana sebelum ini hanya boleh bersama untuk tempoh satu atau dua jam,” katanya.

Bagi Harun Aziz, 32, sesiapa yang memilih pakej itu pasti akan sentiasa mencari peluang mengulanginya.

Katanya, dia pada mulanya mengakui sekadar ‘suka-suka’ tetapi apabila sudah mencuba buat pertama kali, ia dijadikan umpama rutin kehidupan.

“Ikutkan hati, mahu saja saya memilih pakej itu tujuh kali dalam tempoh seminggu, tetapi memikirkan ‘modalnya’, saya hanya mampu tiga atau empat kali dalam tempoh sebulan.

“Siapa yang tidak mahu dilayan seperti raja, dituruti semua kehendak dan menikmati suasana umpama ‘pengantin baru’,” katanya yang juga pegawai eksekutif syarikat swasta ternama di ibu kota.

Menurut Harun, biasanya tempahan ‘pakej isteri sementara’ itu perlu dibuat melalui panggilan telefon, seterusnya berhubung dengan bapa ayam untuk mendapatkan tawaran pakej.

Jelasnya, bukan semua sindiket membuka tawaran pakej itu secara terbuka kepada pelanggan, sebaliknya hanya diketahui pelanggan tetap premis berkenaan.

“Di sebuah premis spa dan rumah urut yang terletak di pinggir Kuala Lumpur, pakej membabitkan wanita luar negara yang didakwa belajar di negara ini.

“Harga ditawarkan mahal, paling murah RM600. Bayaran mengikut jam pula paling murah RM250. Namun, bukan setiap masa pakej itu ada dan hanya pelanggan tetap boleh menikmatinya,” katanya.

Akibat terlalu kemaruk melanggan ‘isteri sementara’ sebagai pemuas nafsu, Harun sanggup berhabis wang lebih RM2,000 sebulan, iaitu hampir separuh wang gajinya.

Justeru, tidak hairan jika Harun sering tidak cukup wang akibat ketagihannya, malah menghadapi kesukaran membuang tabiat buruk itu.



Spa tempat pertemuan

KUALA LUMPUR: Bagi mengesahkan dakwaan Abdul Malek dan Harun mengenai sindiket pelacuran dikesan ligat menawarkan pakej ‘ isteri sementara’, wartawan Metro Ahad menyamar sebagai pelanggan di beberapa pusat spa dan rumah urut yang dikenal pasti sebagai sarang kegiatan itu.

Berdasarkan maklumat, kami menghubungi beberapa premis dan individu tertentu yang didakwa menjadi ejen dan menawarkan pakej itu.

Tidak dinafikan, sukar membuat tempahan untuk mendapat pakej ‘isteri sementara’ itu kerana bukan semua premis secara terbuka menawarkannya kepada pelanggan yang tidak dikenali, jika ada pun sekadar pakej yang ditempah mengikut jam.

Dengan bantuan Abdul Malek, kami akhirnya berjaya menjejaki seorang bapa ayam atau digelar ‘kapten’ di sebuah premis spa sekitar ibu kota yang bersedia menawarkan pakej itu.

Bapa ayam itu yang dikenali sebagai ‘Ah Seng’ meminta penulis dan Roslan datang ke premis terbabit pada masa ditetapkan, iaitu kira-kira jam 8 malam.

“Di sini ada banyak ‘amoi’ baru datang, tempatan ada, luar negara pun ada. Senang cerita, kamu semua datang sini dulu, tengok amoi mana suka boleh ambillah.

“Kalau kamu ada hotel, kamu boleh bawa amoi itu keluar ikut suka hati kamu. Tapi kalau mahu saya sediakan hotel, saya ‘charge’ RM100, jadi semua kamu kena bayar RM480,” katanya.

Sebagaimana dijanjikan, kami tiba di premis itu pada masa dijanjikan dan ketika tiba di situ kami disambut Ah Seng bersama seorang rakannya yang turut menjalankan kegiatan terbabit.

Di premis yang turut beroperasi dalam hotel itu, kami diminta menunggu di lobi berhampiran bilik spa yang ada di situ.

Tidak sampai setengah jam, Ah Seng membawa kira-kira 10 wanita untuk dipilih sebagai habuan seks dan dijadikan ‘isteri sementara’ selama enam jam. Kemudian, dia membawa lagi 10 wanita lain sebagai pilihan.

Penulis dan Roslan berpura-pura tidak berkenan dengan pilihan wanita ditawarkan Ah Seng, seterusnya meninggalkan premis itu.

Sementara itu, di lokasi berlainan, kami menyusup di sebuah spa hotel terkemuka yang turut menyediakan pakej itu kepada pelanggan mereka.

Di satu ruang dalam spa berkenaan yang menyediakan makanan dan minuman, kelihatan ramai pelanggan spa berehat dan menikmati hidangan.

Pada masa sama, kelibat wanita boleh dilihat di setiap ceruk spa itu yang datang silih berganti untuk ‘menawarkan’ diri menjadi pasangan pelanggan di situ.

Pakej ditawarkan di situ mahal, malah mencecah ribuan ringgit untuk tempahan selama 24 jam.

Harian Metro

Tawaran tanpa kekangan

KUALA LUMPUR: “Selagi ada tawaran, bagaimana hendak mengekang dan menyelesaikan masalah ini?” kata aktivis dan penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim.

Menurutnya, bukan mengejutkan ada lelaki hidung belang sampai tahap ketagih melanggan wanita memandangkan terlalu banyak operasi dan kegiatan pelacuran boleh didapati, terutama sekitar ibu kota.

“Jika (premis terbabit) didapati bersalah oleh pihak berkuasa hingga terpaksa tutup premis sekalipun, mereka (sindiket) akan buka pula di tempat lain.

“Bayangkan, ada pusat pelacuran seperti di sekitar Chow Kit yang beroperasi sejak saya masih kanak-kanak lagi, tapi sampai sekarang masih menjalankan kegiatan tidak bermoral ini. Sampai bila perkara ini akan selesai?” katanya.

Kamal berkata, bagi menangani masalah ini, tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) sangat penting.

“Bukan menyerahkan (tindakan) 100 peratus kepada polis. Yang berkuasa menutup dan menghalang kegiatan ini daripada terus berleluasa adalah PBT.

“Bagi saya, jika tidak dapat melenyapkan terus kegiatan (pelacuran) ini, setidak-tidaknya ada kawalan dan sekatan kuat daripada pihak berkuasa untuk menghalang premis tertentu sewenang-wenangnya mengambil kesempatan menjalankan kegiatan itu,” katanya.

Kamal turut mendedahkan, berdasarkan tinjauan dan pemantauannya, banyak pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan lesen perniagaan mereka.

Katanya, ia mudah dikesan membabitkan perniagaan yang menawarkan khidmat kesihatan seperti spa dan rumah urut, termasuk khidmat pelancong.

“Ada yang tawarkan khidmat pemandu pelancong atau ‘social escort’, tapi sebenarnya hanya ‘topeng’ untuk menghalalkan kegiatan (pelacuran) mereka.

“Tidak masuk akal jika melihat pemandu pelancong berpenampilan seksi dan mengghairahkan, melainkan ada niat lain mengaut keuntungan dengan menawarkan habuan seks.

“Jika masalah dadah dianggap musuh nombor satu negara, kegiatan (pelacuran) kini juga boleh dilabel sama. Pihak berkuasa perlu buka mata dalam menangani masalah ini,” katanya.

Harian Metro
Penanti: BN tidak bertanding?
Oleh YUSRI SAHAT dan YULPISMAN ASLI
utusanpahang@utusan.com.my

PEKAN 18 April – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) akan meneliti sama ada mahu menyertai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pulau Pinang atau sebaliknya.

Tegas Perdana Menteri, BN perlu melihat terlebih dahulu kewajaran pilihan raya kecil itu sama ada ia memberi manfaat kepada rakyat atau sebaliknya.



“Tidak tahu lagi (tarik diri atau tidak). Kita tengok dulu tetapi saya tidak ketepikan apa juga kemungkinan.

“Pilihan raya kecil ini bukan sebab peruntukan perlembagaan, kalau disebabkan perlembagaan, kita hormati,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan peringkat Parlimen Pekan sempena pelantikannya sebagai Perdana Menteri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan peringkat Parlimen Pekan sempena pelantikannya sebagai Perdana Menteri di Dataran Pekan di sini hari ini.

Kira-kira 30,000 penduduk Pekan menyambut kepulangan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ini kali pertama Najib pulang ke kawasan Parlimennya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 3 April lalu.

Semalam, Najib menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin meletak jawatan sehingga menyebabkan satu pilihan raya kecil perlu diadakan sebagai permainan politik.

Khamis lalu, bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang itu mengumumkan peletakan jawatan sebagai ADUN Penanti.

Mohammad Fairus, yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata, langkah tersebut bagi membersihkan namanya daripada tohmahan selain bagi membolehkannya melanjutkan pelajaran.

Najib yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN memberitahu, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada Jumaat ini dan Dewan Tertinggi BN bagi membincangkan perkara itu.


“Kalau tidak sempat, saya akan bawa perkara ini kepada Biro Politik UMNO dan juga bincang dengan presiden-presiden parti komponen BN,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengulangi kenyataannya bahawa apa yang dilakukan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengadakan pilihan raya kecil sebagai permainan politik mereka.

“Jelas sekali ini satu permainan politik mereka (pembangkang) dengan tujuan mereka itu kita dapat mengesannya,” katanya.

Utusan
Wajarkah BN bertanding?

KUALA LUMPUR 18 April - Wajarkah Barisan Nasional (BN) bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan (DUN) Penanti?

Persoalan ini mendapat reaksi yang berbeza daripada pelbagai pihak.

Bagi yang menyokong penyertaan BN, mereka menegaskan apa jua pilihan raya kecil perlu disertai kerana ia platform demokrasi yang perlu diambil berat oleh semua parti apatah lagi bagi yang berstatus parti pemerintah selama 52 tahun.

Bagi yang tidak bersetuju, mereka berpendapat BN perlu menunjukkan protes terhadap parti pembangkang yang memperlekehkan sistem demokrasi dengan perkara yang remeh-temeh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, tiada sebab untuk BN memberikan kemenangan percuma kerana tidak semua pengundi di DUN Penanti bersetuju dengan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Kalau tidak bertanding kita macam sudah mengaku kalah, pembangkang walaupun di kubu kuat BN, mereka tetap bertanding. Semangat mereka kuat dan kita kena jadi macam itu juga.

"Kerusi ini kalah menang tidak akan memberi kesan kepada kita, jadi saya cadangkan biarlah UMNO dan komponen BN tempatan serta berdekatan seperti Kedah dan Perak yang turun berkempen berhabisan, bagi yang jauh seperti Kelantan atau Selangor tidak perlulah mereka ke Penanti," katanya sewaktu dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini pada satu majlis di Pekan, Pahang berkata, BN akan meneliti sama ada mahu menyertai pilihan raya kecil DUN tersebut atau sebaliknya.

Pilihan raya kecil itu dijangka diadakan ekoran tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, BN mesti menyertai pilihan raya itu bagi mempertahankan integriti, prestij dan imejnya.

"Sebagai parti pemerintah sejak negara mencapai kemerdekaan, tindakan menarik diri daripada pilihan raya akan memberi gambaran BN kini gentar untuk berdepan dengan pembangkang.

"Kita tidak perlu takut untuk berdepan dengan mereka kerana pada masa depan saya percaya mereka akan mencuba helah lain memaksa lebih banyak pilihan raya kecil diadakan," katanya.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir pula berkata, mana-mana parti politik yang memaksa diadakan pilihan raya kecil atas sebab-sebab selain kematian atau sakit sepatutnya dikenakan denda sewajarnya.

"Mungkin juga boleh dipertimbangkan supaya parti berkenaan dihalang dari bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut," katanya.

Beliau berkata, tindakan mengadakan pilihan raya kecil tanpa alasan kukuh, satu penyalahgunaan proses demokrasi selain membazir duit rakyat dan parti yang bertanding.

Sementara itu, Dekan Pasca Siswazah dan Penyelidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohamed Mustapha Ishak menganggap pilihan raya kecil itu adalah peluang terbaik BN memberi penjelasan kepada rakyat mengenai lakonan pembangkang dalam keghairahannya mempertahankan kuasa politik.

"BN mesti melihat setiap pilihan raya dengan serius, kalau dianggap beban ia akan memberi gambaran bahawa parti itu sudah 'letih'. BN tidak perlu rasa malu dan takut untuk hadapi sekali lagi kekalahan," katanya.

Sementara itu dalam nada berbeza, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim bersetuju BN tidak menyertainya kerana pilihan raya kecil itu tidak menyumbang kepada pembinaan bangsa.

Katanya, pilihan raya itu adalah hasil polemik politik kotor parti pembangkang bagi menghalalkan percaturan mereka.

"Wakil rakyat sesuatu kawasan merupakan amanah rakyat yang telah memilih mereka dengan cara demokrasi. Tindakan meletak jawatan hanya untuk mengadakan pilihan raya kecil adalah tindakan mengkhianati amanah itu," katanya.

Ketua Wanita UMNO, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berharap semua parti komponen BN akan menyokong cadangan Perdana Menteri bahawa BN mungkin tidak akan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil berkenaan.

Katanya, walaupun Wanita UMNO sentiasa bersedia, pihaknya tidak bersetuju proses demokrasi di negara ini disalah guna dan diperlekehkan.

"Kita tidak mahu rakyat menjadi mangsa oleh kerenah individu dan kegagalan pembangkang menyelesaikan masalah dalaman parti mereka," katanya.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula bimbang trend penyalahgunaan demokrasi untuk kepentingan pihak-pihak tertentu sehingga boleh mengelirukan rakyat tentang maksud sebenar konsep tersebut.

"Biarpun demokrasi memberi kebebasan kepada rakyat untuk membuat pilihan, namun tindakan sengaja mengosongkan kerusi tertentu bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil adalah tidak wajar," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Reezal Merican Naina Merican menyifatkan cadangan BN untuk tidak bertanding di DUN Penanti adalah tepat dan wajar.

"Tidak ada apa-apa yang perlu dibuktikan di DUN Penanti, selain proses pilihan raya menjadi alat permainan parti tertentu," katanya.

Utusan
4.18.2009
SPEAKER TIDAK KEBAL
Posted on Saturday, April 18 @ 15:35:23 MYT by TokAyah
Oleh Mat Gedek

Semenjak dua menjak ini, Zamry MB Perak yang dilantik melalui rampasan kuasa gembira betul. Apa tidaknya, Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan bahawa perintah penggantungan selama 18 bulan ke atas beliau dan 12 bulan ke atas enam anggota exco kerajaan negeri oleh Speaker negeri V Sivakumar, adalah tidak sah dan batal.

Mahkamah membuat keputusan demikian kerana Sivakumar tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. Oleh itu Zambry dan enam exco terbabit boleh menghadiri sidang DUN yang akan datang.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Alauddin, yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya Datuk Arifin Zakaria dan Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman, Datuk S Augustine Paul dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin. Hakim Alauddin dalam penghakimannya berkata perintah penggantungan oleh speaker ke atas MB Perak dan enam orang exconya melampaui perlembagaan negeri. Hakim ini juga berkata di bawah Artikel 63 Perlembagaan Negeri Perak, mahkamah mempunyai kuasa menyelesaikan saman pemula difailkan oleh Zambry dan enam anggota exco di Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2 Mac.

Dengan perintah mahkamah ini, kekebalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwar-warkan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak ada akta atau undang-undang lain yang boleh mencabarnya kecuali Parlimen sendiri meminda perlembagaan adalah meleset. Apa yang sebenarnya speaker tidak kebal. Keputusan yang dibuat oleh speaker dalam persidangan DUN boleh dicabar di mahkamah dan jika penyaman boleh membawa bukti yang menyakinkan mahkamah, keputusan speaker akan dibatalkan.

Peruntukan Perlembagaan Malaysia yang menyebut; Perkara 72(1) Perlembagaan Persekutuan menyebut: 'Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah'. Begitu juga fasa; Perkara 72(2): 'Tiada seorang pun boleh didakwa dalam apa-apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah mengenai apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberi olehnya apabila mengambil bahagian dalam perjalanan mana-mana Dewan Negeri atau mana-mana jawatankuasanya'.

Pentafsiran kekebalan speaker DUN ini sendiri dibuat oleh Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenivasan. Katanya kekebalan itu dihuraikan secara jelas dalam Perkara 72(1) dan 72(1) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 2 dan 3 Enakmen Dewan Undangan Negeri Perak (Hak Istimewa) 1959. "Ia selaras dasar pemisahan kuasa antara eksekutif (kerajaan), legislatif (Parlimen) dan kehakiman yang menjadi asas amalan demokrasi negara bagi memastikan tiada campur tangan tiga badan terbabit

Kedua-dua ‘perkara’ di atas tidak boleh dijadikan hujah kekebalan speaker kerana perlu dibaca dengan Artikel 63 Perlembagaan Negeri Perak sepermana yang di putuskan oleh mahkamah.

Namun peguam Sivakumar, Sulaiman Abdullah tetap berpendapat tindakan Speaker Perak tidak bertujuan melanggar undang-undang dan perintah penggantungannya terhadap Zambry dan enam anggota exco itu adalah betul. Tetapi Hakim Mahkamah Tinggi pula secara sebulat suara mengatakan tindakan speaker terbatal dan tak sah kerana tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Nampaknya rakyat telah diberikan maklumat yang mengelirukan mengenai krisis perlembagaan di Perak. Yang hairan, bagaimana peguam-peguam PR dan Majlis Peguam sendiri yang pakar dalam selok-belok undang-undang seolah-olah tidak tahu akan wujud Artikel 63 Perlembagaan Negeri Perak. Artikel ini membolehkan mahkamah membatal keputusan yang dibuat oleh speaker dalam persidangan DUN.

Sehubungan dengan itulah Zamry dan UMNO sendiri sangat gembira dengan keputusan mahkamah ini. Dalam kenyataannya, Zambri meminta pihak pembangkang di Perak dan penyokong mereka menerima dengan baik dan hati terbuka keputusan mahkamah hari ini.

Memang patut beliau gembira kerana krisis yang berlaku di Perak sudah hampir sampai ke penghujungnya dan beliau akan di isytihar sebagai pemenang. Selepas ini beliau akan dapat menumpukan sepenuh perhatiannya kepada jawatan MB dan memasang impian kepada jawatan yang lebih tinggi dalam UMNO. Sama ada jawatan MB itu diperolehi daripada rampasan kuasa dan disahkan oleh mahkamah, tidak menjadi soal.

Benarkah begitu, adalah Zamry akan diisytihar menang pada pusingan ini. Sebenarnya keputusan mahkamah ini belum membolehkan Zamry diisytihar sebagai pemenang. Keputusan Mahkamah Persekutuan ini tidak menyebut Sivakumar sebagai Speaker Perak tidak mempunyai kuasa selepas ini menghalang tiga Adun Lompat atau mana-mana Adun masuk ke dalam dewan Dun. Keputusan mahkamah hanya membatal pergantungan Zamry dan enam anggota exco kerajan negeri daripada menghadiri sidang DUN dan tidak melibatkan Adun Lompat.

Sebab itu menurut peguam Sivakumar, mereka akan tunggu dan lihat apa akan berlaku kerana Speaker masih ada di persidangan itu nanti. Ini bermakna Sivakumar masih boleh menghalang kerana Mahkamah Persekutuan tidak membuat sebarang perintah melarang Sivakumar dari menahan Adun-Adun tersebut dari masuk ke dewan Dun.

Nampaknya sekali lagi keputusan Mahkamah tidak membantu Umno menyekat kuasa V. Sivakumar daripada menghalang UMNO memerintah negeri Perak.
Tak hormat
GEORGETOWN: Tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin, 33, meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti, semalam dianggap sebagai perbuatan tidak bermoral.

Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim, berkata tindakan itu jelas tidak menghormati pengundi Penanti yang memilihnya sebagai wakil rakyat.

Lihat impian Ahli JIM terhadap negara Malaysia
Perlukah JIM ditransformasikan kepada Parti Politik ?

Cuba lihat siapa yang anda kenal? Ustaz Sabawi Awang, Abdul Latiff dan Cikgu Rusli Hashim muda-muda dahulu di Teluk Bayu, Sungai Batu Teluk Kumbar.

Transformasi atau perubahan merupakan lumrah penghidupan. Setiap yang 'baharu' akan berubah. Berubah dari satu bentuk kepada yang lain. Berubah dari satu sikap dan sifat kepada yang lain. Kadang-kala perubahan itu perlu dan tidak dapat dibendung seperti manusia itu sendiri. Dari bayi kepada kanak-kanak. Dari kanak-kanak kepada remaja. Dari remaja kepada belia dan seterusnya dewasa, tua dan sebagainya. Dari alam bujang ke alam perkahwinan dan seterusnya beranak-pinak, bercucu-cicit. Tumbuh-tumbuhan, haiwan dan alam ini akan terus berubah. Prasarana dan keperluan juga berubah.

Sebelum aku mengenal JIM, ada satu organisasi "Perkarib" wadah persatuan sukan dan kebajikan. Aku tidak ingat masa dan aktiviti perjalanannya cuma aku ingat ianya digerakan oleh rakan-rakan di kawasan Sungai Ara dan Bayan Baru. Kami kerap main bola, berkhemah (camping), berqiamulail dan sebagainya. Kemudian muncul "Green International", persatuan ala perniagaan. Ahli-ahli digalakkan melabur beberapa RM. Kemudian timbul JIM ( Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia ) di Pulau Pinang dan juga seluruh Malaysia. Terasa hebat bila ada aktiviti, program dan mesyuaratnya yang pelbagai peringkat, daerah, negeri dan nasional. Pendek cerita seterusnya sekarang aku dilantik sebagai Yang Dipertua JIM daerah SPT.

Tentunya bergerak di atas landasan dakwah dan kebajikan ini tidak seberapa ujian-ujian yang mendatang berbanding dengan mereka yang berjuang di bidang politik. Kita ini masih ada ruang yang memberi keselesaan dan kemudahan . Namun setelah berada di persada dakwah selama hampir 20 tahun maka beberapa tanggung-jawab ummah dan masyarakat perlu diberi perhatian. Perjalanan dakwah akan terkesan dengan kemelut kepimpinan daerah, negeri, nasional dan juga peringkat antarabangsa. Mahu tidak mahu keseimbangan amalan "amar maaruf" tidak akan lengkap tanpa penglibatan "nahi mungkar”. Mengajak orang berbuat baik perlu disulami dengan mencegah orang berbuat jahat.

Pergolakan politik yang tidak stabil memberi kesan buruk kepada rakyat. Suasana yang tentu tidak kita ingini. Maka peliharalah hak rakyat nescaya akan terpelihara keamanan negara.

Setelah berkecimpung di dalam arena dakwah sekian lama, banyak kekuatan dan pengaruh telah terbina samada di sudut fizikal atau di sudut spiritual. JIM telah mencungkil dan melahirkan ramai pemimpin yang cemerlang dan berketerampilan. Mempunyai jawatan kuasa atau sayap yang beroperasi dengan amat baik. JIM sebagai wadah yang seterusnya menjana institusi yang baik seperti tadika, educare, sekolah dan beberapa syarikat sokongan yang terhasil untuk memenuhi tuntutan keperluan masyarakat setempat.

Ini mungkin muka-muka baru di dalam kepimpinan negara. Bermula dari pimpinan NGO dakwah kita transformasikan kepada pimpinan politik.

Dalam pandangan saya dengan rekod yang baik ini tidak mustahil di suatu masa yang sesuai JIM akan ditransformasikan dengan lebih hebat lagi ke arah menjadi salah satu partai politik yang diterima ramai dan berwibawa, insyaAllah. Maka di saat itu kita doakan semoga senario politik negara akan bertambah murni dan sudah pasti akan dapat memayungi negara dengan amat baik sekali. Maka mari kita fikir-fikirkan perkara ini.

Bersiapkah kita dikala itu?

http://jimspt2008.blogspot.com/

Peluit: Golongan JIM ini lebih kepada mengejar RM berbanding perjuangan Agama mereka. Mereka berselindung dengan dakwah Islam tetapi sebenarnya mereka ini adalah golongan yang berguru dengan buku; tidak pasti siapakah ketua agama & guru sebenar yang bakal memimpin mereka.



April 2009
SuMoTuWeThFrSa
   1234
567891011
12131415161718
19202122232425
2627282930  

Powered by Easyjournal